Tuesday, June 15, 2010

"Amazing!!! Sharifah Khasif Fadzillah Syed Mohd Badiuzzaman"
















Nama Hajjah Sharifah Khasif Fadzillah Syed Mohd Badiuzzaman bukan lagi satu nama yang asing pada ketika ini. Kejayaan dan pencapaian beliau yang sangat membanggakan membuat saya kagum dan menghormati insan ini. Rentetan daripada itu, baru-baru ini beliau diberi kepercayaan untuk mengacakan sebuah rancangan realiti TV iaitu Akademi Al-Quran Musim ke-4 yang disiarkan di TV9.


Namun apa yang membuat saya terpanggil untuk mewujudkan ruangan ini adalah berkenaan dengan suara-suara sumbang yang seringkali kedengaran akhir-akhir ini.

Tidak dinafikan penampilan beliau amat berbeza dengan imej yang ditampilkan oleh Qariah-Qariah sebelum ini di mana bila sahaja perkataan Qariah itu disebut secara automatik gambaran yang bermain di kepala ialah wanita yang bertudung labuh.

Apabila Hajjah tampil dengan imej yang bersahaja dan sempoi ada pula yang tidak berpuas hati dan tidak sudah-sudah mengutuk dan memberi komen-komen yang sangat menyakitkan telinga dan mata yang melihat. Tidak salah untuk memberikan pandangan dan teguran memandangkan ianya amat perlu bagi memperbaiki dan mengubah apa yang patut, akan tetapi biarlah pandangan yang diberikan itu terarah kepada sesuatu yang membina dan bukannya merosakkan.

Mungkin ada di antara mereka yang tidak tahu Qariah kita ini hanya berusia 28 tahun dan seharusnya beliau juga berhak untuk hidup seperti mereka-mereka di luar sana yang seusia dengannya. Apa yang saya maksudkan di sini bukanlah kehidupan yang sosial dan pergaulan yang bebas tapi cukuplah agar Hajjah diberi peluang dan kebebasan untuk memilih cara hidup dan imejnya sendiri. Yang penting Hajjah masih lagi berada di landasan yang betul dan masih tidak bertentangan dengan apa yang disyariatkan.

Allah memberikan kelebihan yang berbeza-beza bagi setiap seorang daripada kita, jadi biarlah kita menghargai anugerah yang amat bernilai yang diberikan kepada beliau yang tidak kita miliki. Lebih-lebih lagi beliau berjuang dalam memartabatkan Al-Quran di mata masyarakat yang kian lalai dan leka dengan hiburan yang boleh merosakkan akhlak dan akidah.

Cubalah untuk menghormati prinsip beliau, janganlah hanya tahu menghukum dan mencerca tanpa menilai dan meneliti mesej yang cuba disampaikan.

Saya pasti Hajjah sendiri sentiasa cuba untuk memperbaiki kelemahan dan kekurangan diri. Tiada manusia yang tidak terlepas dari melakukan kesilapan dan setiap kali itu juga mereka harus diberi peluang untuk mengubah apa yang patut.

Wallahua'lam.....

No comments:

Post a Comment