Tuesday, March 12, 2019

Ceritera Family Short Trip Ke Manila, Philippines


 (View sunrise daripada tingkat 48, Malate, Manila, Philippines)


Mulanya terasa ingin menulis dalam bahasa english, tapi memandangkan bahasa tunggang langgang dan khuatir maksud tidak sampai maka baiklah ia ditulis di dalam bahasa Malaysia hehe.

Pada 9  hingga 11 Mac lepas kami memilih Manila, Philippines sebagai destinasi percutian keluarga. Mulanya agak keberatan kerana sering dimomokkan dengan pelbagai cerita negatif berkenaan negara itu. Namun, ada baiknya melihat sendiri keadaan di sana daripada hanya mendengar cerita orang lain. 

Di sini aku ceritakan sedikit pengalaman yang ada. Cerita ini tidak merangkumi semua kehidupan di sana, mahupun meliputi seluruh penduduknya. Hanya segelintir yang aku nampak di depan mata.

Kami menetap di kawasan bandar. Lebih spesifik, di Malate. Hotel tersebut terletak di tengah-tengah bandar. Hanya beberapa langkah berdekatan dengan Robinson Mall Manila. Manila adalah sebuah bandar yang amat padat. Keadaan trafik yang amat sesak. Di atas dua lane jalanraya boleh memuatkan 4 kereta yang berhimpit sesama sendiri namun menariknya tidak berlanggar 😅.


Tidak dinafikan sukar untuk mencari makanan halal dan sesuai dengan selera Mak aku (tu yang penting 😆). Mak memang sedikit cerewet dengan makanan, tapi maklumlah selera orang tua. Difahami. Alhamdulillah mak berkenan dengan makanan di restoran arab yang beroperasi 24 jam "Shawarma Snack Centre". Restoran terletak dalam 15 hingga 20 minit dari hotel. 

Sepanjang berada di kawasan tersebut, aku melihat pelbagai jenis kehidupan. Baik siang ataupun malam. Pagi hari kedua, kami hanya berjalan kaki untuk membeli sarapan pagi di Shawarma. Sepanjang perjalanan pergi dan balik, ada bermacam jenis orang dan kehidupan. Ada yang sudah memulakan kerja menyapu dan membersih jalan raya, kaki lima dan sebagainya. Tidak kurang yang tidur bergelimpangan di kaki-kaki lima, hadapan kedai, bank dan di lorong-lorong jalan laluan kereta. 


















(beberapa gambar diambil secara rawak dan tidak jelas)

Aku tidak berkesempatan mengambil gambar kehidupan di malam hari kerana agak membahayakan. Namun aku ada melihat beberapa lelaki mengarahkan beberapa wanita mengikuti lelaki-lelaki yang berkemungkinan pelanggan mereka.

Pengalaman melancong di luar negara bagi aku bukan hanya melihat pemandangan yang indah dan menakjubkan tapi aku juga ingin melihat sendiri bagaimana mereka menjalani kehidupan seharian, budaya mereka dan sebagainya. 

Gambar-gambar yang dipaparkan di atas tidak bertujuan untuk mengaibkan mereka tapi aku kongsikan untuk mempamerkan betapa kita dijadikan di dalam pelbagai jenis kehidupan yang berbeza-beza. Kehidupan itu ada sisi baik dan buruknya. Ada yang mampu diubah, ada yang sudah redha dengan takdirnya, ada yang masih tetap berusaha untuk meningkatkan taraf hidup, ada yang berkali-kali gagal masih juga percaya satu hari nanti kehidupannya akan berubah, ada yang tidak pernah gagal dan melihat orang di bawahnya sangat kerdil dan hina kerana berlainan tarafnya, ada yang menganggap orang yang gagal dan miskin itu hina walhal kehidupan kita dikelilingi cerita yang berbeza-beza. 

Siapa pun kita, usah merasakan diri sendiri adalah insan yang paling bertuah, kaya, bertaraf tinggi atau sebaliknya merasakan diri sendiri sebagai miskin, hina, gagal dan tidak akan pernah berkesudahan baik. Rahsia Allah itu indah. Kadang kita di atas, akan datang masa surutnya untuk kita berada di bawah pula dan kadang kita di bawah, jika rezeki diizin Allah akan tetap berada di atas. Sentiasa beringat mati itu pasti, taraf, kecantikan dan kekayaan itu sementara dan kesusahan dan kepayahan tetap ada hikmahnya. InsyaAllah.