Thursday, June 23, 2011

Kejujuran Yang Semakin Mati...



Benarlah kata "kita hanya merancang, Tuhan yang menentukan". Kita terpaksa akur dengan keadaan yang telah ditentukan. Walaupun sebanyak mana yang kita cuba rungkaikan, sebanyak mana yang kita cuba ubahkan, sebanyak mana yang kita usahakan, jika itu yang telah tersurat apa pun tak akan mengubah keadaan. Malah hanya menjadi penyebab dan membina jalan cerita, namun penyudahnya tetap sama. 

Tak salah hidup dengan impian, malah tak berdosa untuk meneruskan usaha berdasarkan mimpi. Tapi perlu selalu mengingatkan diri bahawa jangan terlalu yakin yang hasilnya akan seperti yang diharapkan. Keadaan boleh berbeza bila-bila masa. Juga mungkin akan menjadi lebih dahsyat bila ia memang sepenuhnya di luar jangkaan.

Sememangnya jika telah meletakkan 100% usaha ke arah cita-cita yang diimpi-impikan, malah menyumbangkan seluruh hidup dan masa semata-mata untuk mengejar cita-cita namun akhirnya kecundang. Apa yang tinggal? hanya kecewa.... Kembali lah ke jalan Allah... Allah Maha Mengetahui apa yang terbaik untuk kita...

Dunia ini semakin goyah. Sana-sini orang memperkatakan tentang kebaikan, berlimpah ruah kata-kata yang dikeluarkan untuk menyedarkan orang lain. Tapi hakikatnya? di mana kejujuran? tiada! yang ada hanya dusta semata-mata. Hanya ingin tampil hebat di mata manusia yang nyata juga tak pernah kekal. Kenapa sukar untuk berlaku jujur? kenapa sering pembohongan dijadikan makanan harian? malah tanpa rasa berdosa mengulanginya setiap ketika pun? Apakah kita menjangkakan hidup kita akan kekal? Apakah kita yakin yang kita memperoleh imuniti dan terlindung daripada bencana? Apakah kita taksub pada kelebihan yang Allah pinjamkan sehingga kita lupa yang kita juga manusia biasa? yang juga hamba Ilahi? yang akan dijemput mengadap Yang Esa bila tiba saatnya?

Sedarilah bahawa mati itu pasti... usah terleka dengan sandiwara dan keindahan pinjaman yang hanya sementara. Kasih sayang itu tidak tidak sepatutnya dihuraikan sebagai berdiam diri sungguhpun kemungkaran di depan mata. Malah menjaga yang tersayang juga tidak sepatutnya didefinisikan sebagai sentiasa mengiyakan apa yang sudah terang-terangan menjadi dosa. Jika ini ada di dalam pemikiran, musnahlah kehidupan, hancurlah tatasusila.

Berkatalah benar walaupun pahit... ya... memang ini yang seharusnya dilaksanakan... mungkin kita akan membenci pada sesiapa yang menyuarakan kebenaran... malah mencaci dan menghina... tapi Allah itu ada, Dia lebih mengetahui niat seseorang... semua buruk dan baik akan ditimbang Allah swt bila tiba hari pembalasan. Mungkin dunia tidak mengakui kebenaran, malah memberi nista namun kan tiba saatnya kebenaran akan terzahir. 

Wallahu a'alam....